Ramai tersenyum apabila peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim beritahu Penasihat PKR itu akan saman Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan akhbar Utusan Malaysia RM100 juta kerana dakwa memfitnahnya.
Ini ekoran Utusan Isnin melaporkan di muka depan kenyataan Muhyiddin yang menyifatkan Anwar sebagai pengkhianat besar terhadap perjuangan orang Melayu.
Tersenyum kerana dua sebab. Tindakan menyaman bermakna Anwar masih percaya kepada sistem perundangan negara ini walaupun siang malam pagi petang asyik jaja kata institusi kehakiman negara ini sudah teruk dan tidak boleh dipercayai.
Keduanya, semua orang tersenyum kerana jika saman terbaru ini dilaksanakan, sejak tahun 1999, tuntutan saman Anwar di mahkamah yang masih belum selesai sehingga kini telah mencecah RM520 juta.
Namun tiada satu pun yang telah selesai.
Walaupun cuba memberikan persepsi institusi kehakiman negara ini tidak boleh dipercayai, ada yang mengatakan, tindakan Anwar membuat tuntutan saman adalah salah satu cara untuk beliau menunjukkan kepada orang ramai bahawa dirinya tidak bersalah dan berani berhadapan dengan orang yang menuduhnya di mahkamah.
Namun menurut bekas orang kuatnya Ezam Mohd Noor yang merupakan bekas Ketua Pemuda PKR, berdasarkan maklumat yang diperolehinya, dalam kes membabitkan bekas Timbalan Presiden PKR, Dr Chandra Muzaffar yang disaman RM10 juta setiap kali kes hendak dimulakan, ada sahaja alasan teknikal yang digunakan oleh Anwar untuk menangguhkan perbicaraan tersebut.
“Ini adalah taktik Anwar hendak buat gempar. Dalam kes Chandra saya difahamkan setiap kali kes hendak dijalankan, Anwar akan minta pelbagai perkara di mahkamah hingga memaksa perbicaraan ditangguhkan.
“Kenapa dia buat begini, saya rasa dia takut jika kes berkenaan dibicarakan cepat, semua pekung akan terbongkar,” katanya kepada Agendadaily.
Taktik melengah-lengahkan perbicaraan jika diimbas kembali turut berlaku dalam kes dakwaan liwat Anwar yang dibuat oleh bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan. Sejak kes berkenaan dilaporkan Ogos 2008, sehingga kini setelah hampir setahun, perbicaraan masih belum dapat dijalankan dengan pelbagai permohonan Anwar di mahkamah yang menyebabkan penangguhan perbicaraan.
Malah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang turut disaman oleh Anwar sebanyak RM100 juta dalam tulisan di blognya yang bertajuk HOW TO MUZZLE YOUR CRITIC - SPECIAL MESSAGE FOR POLITICIANS turut menyifatkan cara terbaik untuk menutup mulut orang mengkritik ialah dengan membuat ‘saman RM100 juta’.
Setelah ia dibawa ke mahkamah, kritikan tidak boleh dibuat sebab ia akan menjadi ‘sub-judice’ kerana perkara berkenaan sedang dalam proses perbicaraan. Selepas itu kata Dr Mahathir, pelbagai alasan akan digunakan untuk menangguhkan perbicaraan hingga makan masa bertahun-tahun.
Lebih kurang Dr Mahathir memberikan gambaran, setelah mahkamah buat keputusan, katakanlah saman tersebut ditolak, orang yang menyaman akan membuat rayuan ke mahakamah lebih tinggi dan begitulah seterusnya hingga menyebabkan orang sudah lupa ‘dosa’ orang yang menyaman dan perkara itu tidak lagi menjadi isu.
Begitu juga dengan Dr Chandra, ketika mengulas mengenai saman Anwar terhadapnya pada tahun 2008 berkata "Saya telah menulis kepada peguamnya dan dengan jelas menyatakan bahawa saya tidak mempunyai sebarang sebab apa jua untuk menarik balik kenyataan yang saya buat di forum tersebut atau untuk memohon maaf kepada Anwar Ibrahim”.
Kenyataannya itu dibuat berdasarkan kepada fakta dan maklumat dalam pengetahuannya dan beliau akan mempertahankannya di mahkamah, ujar Chandra.
Namun sehingga kini, kes-kes tersebut boleh dikategorikan ‘orang dah lupa’.
Berikut adalah senarai sejak tahun 1999 hinggalah 2009 saman fitnah dengan nilai puluhan dan ratusan juta yang telah dikemukakan oleh Anwar:
27 Mei 2009 - Anwar memfailkan saman bagi menuntut ganti rugi RM100 juta terhadap Menteri Luar, Datuk Anifah Aman kerana didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah. Anifah dalam kenyataannya menyatakan bahawa Anwar pernah menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepadanya sebagai ‘umpan’ melompat parti selepas pilihan raya umum tahun 2008.
18 April 2008 -Anwar memfailkan saman untuk menuntut ganti rugi RM10 juta terhadap Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Wee Ka Siong yang didakwa memfitnah beliau semasa berkempen pada pilihan raya kecil Machap pada tahun 2007.
7 Mac 2008 – Anwar memfailkan saman terhadap Khairy Jamaluddin bagi menuntut ganti rugi RM100 juta kerana didakwa memfitnahnya dalam satu klip video dan artikel yang disiarkan dalam beberapa laman web termasuk Malaysiakini.com.
6 Mac 2008 - Anwar memfailkan saman terhadap Dr. Chandra Muzaffar bagi menuntut ganti rugi RM10 juta kerana didakwa memfitnahnya dalam dua akhbar tempatan berbahasa Inggeris, semalam. Dalam pernyataan tuntutannya, Anwar mendakwa Presiden Pergerakan Keadilan Sedunia (JUST) itu telah membuat komen berunsur fitnah terhadapnya dalam satu forum anjuran Star Publication Berhad pada 3 Mac lalu.
30 Nov 2006 – Kes saman Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap syarikat akhbar The New Straits Times Press (M) Bhd. (NSTP) dan bekas Ketua Pengarang Kumpulannya, Tan Sri Abdullah Ahmad untuk menuntut ganti rugi RM100 juta kerana memfitnahnya melalui rencana bertajuk: Anwar‘s link to US Lobbyist (Hubungan Anwar dengan pelobi Amerika).
28 Januari 2006 - Anwar saman Tun Dr Mahthir Mohamad dan menuntut ganti rugi RM100 juta setelah mendakwa Perdana Menteri memfitnahnya pada satu sidang akhbar, September 2005. Pada 23 September 2005 Anwar menyerahkan surat tuntutan melalui peguamnya kepada Dr. Mahathir yang menuntut bekas Perdana Menteri memohon maaf secara bertulis dalam tempoh 14 hari kerana didakwa memfitnahnya, jika tidak akan disaman RM100 juta. Pada tahun 1999, Anwar mengemukakan saman malu terhadap Dr. Mahathir Mohamad dan menuntut ganti rugi RM100 juta setelah mendakwa bekas Perdana Menteri memfitnahnya pada satu sidang akhbar, September 1999.
1 Julai 1999 – Anwar saman Sun Media Corporation yang menuntut RM100 juta atas dakwaan akhbar terbitan syarikat itu menyiarkan artikel yang memfitnah dirinya. Bekas Timbalan Perdana Menteri itu memfailkan writ samannya ekoran penyiaran artikel bertajuk Anwar's behaviour despicable - PM di muka surat dua, akhbar The Sun bertarikh 23 September 1999 dikatakan telah memfitnahnya.
Berdasarkan rekod, sejak dibebaskan dari penjara kerana disabitkan kesalahan salah guna kuasa pada tahun 2004, tujuh saman telah dikemukakan oleh Anwar terhadap orang membuat kenyataan mengkritik dan mendedahkan sesuatu mengenai dirinya.
Namun selain saman yang telah difailkan, Anwar juga pernah membuat ancaman akan menyaman tiga orang lagi dengan nilai jutaan ringgit.
Semasa kempen pada pilihan raya kecil Permatang Pauh Ogos 2008, Anwar dilapor akan menyaman dan tuntut gantirugi RM60 juta terhadap bekas teman permainan tennisnya, Datuk S. Nallakaruppan kerana membuat kenyataan bahawa Anwar menerima RM60 juta daripada syarikat judi Magnum Corporation semasa menjadi Timbalan perdana Menteri.
Nallakarupan ketika diajukan soalan mengenai ancaman saman Anwar terhadapnya menegaskan, beliau ‘amat gembira’ untuk bertemu dengan Anwar di mahkamah kerana akan dapat mendedahkan perkara yang sebenar.
Pada kempen pilihan raya yang sama, Anwar turut mengancam akan menyaman Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan ketika itu, Datuk Hamzah Zainuddin RM10 juta kerana membuat kenyataan Anwar pernah cuba ‘mengacau’ dan ‘ingin ambil kesempatan’ terhadap isterinya.
Begitu juga apabila Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu dalam kenyataan pada 15 April 2008 yang menyebut, antaranya, Anwar menggalakkan “penyokongnya menggunakan pelbagai taktik kotor pada pilihanraya umum” dan “negara akan lebih aman dan makmur jika tiada kelibat manusia seperti Anwar” telah diancam akan disaman RM100 juta jika tidak memohon maaf. Samy tidak memohon maaf tetapi tiada tindakan diambil oleh Anwar.
Berdasarkan begitu punya banyak saman Anwar, ada yang menggelar beliau kini “Jutawan Saman”. – 3/8/2009
Sumber Agandadaily