Barisan Nasional (BN) akan memberi penjelasan berdasarkan fakta kepada pengundi mengenai isu-isu yang dibangkitkan oleh pembangkang ketika berkempen pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
BN tidak akan berbohong kepada pengundi semata-mata untuk meraih sokongan.Kata Timbalan Perdana.
“Yang penting untuk BN, kita akan memberikan penjelasan yang betul dan tidak akan bohong. Kita memberikan kenyataan berdasar fakta yang betul kerana kita mahu memberikan peluang kepada pengundi membuat penilaian yang tepat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sebelum itu, beliau mengiringi calon BN, Rohaizat Othman di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) sempena proses penamaan calon pilihan raya kecil itu di sini.
Muhyiddin berkata, pengundi di Permatang Pasir dapat membuat pilihan bijak berdasarkan segala pembaharuan yang telah diusahakan untuk rakyat selepas Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri.
“Saya berpendapat dalam situasi selepas sahaja pilihan raya kecil Manik Urai dan langkah-langkah yang ambil oleh Perdana Menteri untuk pembaharuan dan perubahan kepada negara, angin ini sudah mula meniup dan saya kira sampai ke Permatang Pasir,” katanya.
Pemuda Umno Kesan Pengundi Hantu Di Permatang Pasir
Pergerakan Pemuda Umno mendakwa terdapat pengundi hantu bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir pada 25 Ogos ini, kata Ketuanya Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata ini berdasarkan laporan terdapat pengundi luar yang didaftarkan sebagai pemilih di kawasan itu.
"Kita dapati beberapa orang Melayu didaftarkan di rumah yang dihuni oleh orang Cina dan ada juga pengundi Cina didaftarkan alamatnya di rumah orang Melayu," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Pemuda Umno di sini, hari ini.
Khairy berkata sejak pilihan raya umum lepas terdapat kira-kira 1,000 pengundi didaftarkan di Permatang Pasir dan trend itu adalah tidak normal kerana jumlahnya terlalu besar.
Beliau berkata perkara itu akan dikemukakan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil bagi menangani isu itu.
"Kita akan kumpulkan bukti secukupnya dan kemukakan kepada SPR," katanya.