Oleh Kazman Kamal
Sepang — Pemuda UMNO Selangor hari ini mencabar Pemuda Pas agar tidak menikus sebaliknya bangkit untuk menentang mempertahankan sensitiviti umat Islam di negeri terbabit berhubung isu penjualan arak.
Ketuanya, Suhaimi Mohd Ghazali berkata tindakan Ronnie Liu mengarahkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memulangkan semula minuman keras dari sebuah kedai serbaneka di Jalan Liku, Seksyen 8 di sini Khamis lalu jelas merupakan satu penghinaan kepada umat Islam.
Justeru beliau mencabar Pemuda Pas Selangor agar menyatakan pendirian mereka bagi membuktikan sikap mereka yang kononnya konsisten dalam memperjuangkan Islam di negara ini.
“Sebelum ini mereka cukup lantang mengutuk dan mencerca kita dengan pelbagai kata-kata yang kononnya tidak memperjuangkan Islam. Nah…sekarang kita nak tengok pendirian mereka yang dikatakan konsisten itu.
“Adakah mereka takut untuk menegur dan berdepan dengan Ronnie Liu. Dan adakah mereka pun setuju dengan tindakan Ronnie yang jelas tidak menjaga sensitiviti umat Islam”, soalnya.
Beliau berkata demikian kepada laman webPemuda mengulas tindakan Ronnie yang mengarahkan MBSA memulangkan semula minuman keras dari sebuah kedai serbaneka di Jalan Liku, Seksyen 8 di sini Khamis lalu, setelah merampasnya dalam satu operasi yang dijalankan ke atas kedai itu sehari sebelumnya.
Rampasan yang dilakukan oleh Jabatan Perlesenan dan Penguatkuasaan MBSA itu dibuat selepas menerima aduan daripada penduduk setempat sejak beberapa bulan lalu yang tidak berpuas hati kerana mendakwa premis berkenaan menjual minuman keras kepada umat Islam.
Bagaimanapun, Ronnie dalam satu kenyataannya kelmarin memberitahu, tindakan MBSA itu merupakan salah faham selain menyatakan PBT tersebut tidak ada kuasa untuk merampas minuman bir tetapi hanya boleh berbuat demikian ke atas minuman keras lain yang dijual oleh peniaga yang tidak berlesen.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandamaran dari DAP itu memberi alasan tersebut kerana mendakwa bir tidak boleh dikategorikan sebagai minuman keras kerana kandungan alkoholnya tidak tinggi.
Tegas Suhaimi lagi, apa pun alasan yang diberikan oleh Exco Selangor itu, ianya jelas mereka tidak menghormati umat Islam.
“Kita cukup kesal kerana demi kuasa, Pas sanggup berdiam diri dan tidak berbuat apa-apa bagi mempertahankan kesucian dan kemuliaan Islam.
“Jika mereka boleh lantang dalam soal hudud, soal ISA, kenapakah dalam soal ini mereka tidak boleh buka mulut”, katanya.